Bursa Malaysia

top_rightads

Wednesday, August 17, 2011

Antara Negara Pendapatan Tinggi Dan Rakyat Berpendapatan Tinggi

Tajuk di atas menunjukkan dua pernyataan yang hampir sama tetapi mempunyai maksud yang mungkin berbeza.Negara berpendapatan tinggi tidak semestinya membawa maksud mempunyai rakyat berpendapatan tinggi. Keadaan ini mungkin berlaku jika kekayaan hanya berlegar dikalangan individu-individu yang tertentu  yang memonopoli perniagaan tertentu yang membayar cukai kepada kerajaan. Atau agensi-agensi sesuatu kerajaan yang "Key Performance Indicators-KPI"nya hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Maka peluang pekerjaan mungkin dikecilkan oleh kerana untuk mengurangkan kos operasi untuk membolehkannya membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan. Pendapatan perkapita rakyat dari segi statistik mungkin mencapai angka yang disasarkan, namun kebanyakan rakyat sebenarnya berada dalam kesusahan dan mempunyai pendapatan purata yang minima.Keadaan yang sedemikian akan menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak sekata di kalangan rakyat.

Situasi rakyat berpendapatan tingi pula ialah merujuk kepada purata rakyat keseluruhan mempunyai pendapatan yang tinggi atau sekurang-kurangnya munasabah untuk menyara kehidupan seharian.Ini mungkin disebabkan dasar-dasar kerajaan yang lebih mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat, menyediakan  dan melaksanakan polisi gaji minima kepada rakyat.Bila keadaan demikian berlaku, kuasa membeli dikalangan rakyat lebih tersebar dan aktiviti ekonomi secara tak langsung dapat dicergaskan. Ini akan meningkatkan kuasa beli di pasaran domestik dan secara tidak langsung akan mengurangkan kesan negatif luaran yang mungkin melanda. Kerajaan juga dapat meningkatkan pendapatannya apabila lebih ramai rakyat yang bakal mampu membayar cukai. Apa yang penting dalam hal ini, soal ketidakpuasan hati rakyat dapat dielakkan seterusnya mengelakkan sesebuah negara mengalami konfik politik yang tidak berkesudahan.

Daripada hujah di atas, penulis berpendapat kenyataan kedua iaitu konsep rakyat berpendapatan tinggi adalah lebih sesuai untuk diamalkan oleh mana-mana negara. Jika pembuat dasar ekonomi negara dapat menghayati konsep berkenaan, penulis yakin Malaysia akan dapat meneruskan momentum kestabilan dan kemakmuran berterusan dalam jangka masa yang panjang.

@MyIktisad

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...