Bursa Malaysia

top_rightads

Thursday, August 18, 2011

Malaysia Mencatatkan 4 % Kadar Pertumbuhan Ekonomi Bagi Suku Ke-2 Tahun 2011


Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sederhana sebanyak empat peratus dalam tempoh suku kedua tahun ini berikutan kelembapan dalam persekitaran luar negara serta perbelanjaan sektor awam yang rendah.Kadar pertumbuhan itu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pertumbuhan suku pertama yang disemak semula pada 4.9 peratus, serta 8.9 peratus pada suku sama tahun lalu.Dengan pencapaian berkenaan, ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kelembapan ekonomi di negara maju dan gangguan rantaian bekalan global berpunca daripada bencana alam di Jepun telah menyebabkan sektor perkilangan mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Namun, pertumbuhan keseluruhan terus disokong permintaan dalam negeri serta pengukuhan eksport komoditi dan produk berasaskan sumber berikutan permintaan serantau menggalakkan dan harga komoditi yang tinggi,” kata beliau semasa membentangkan prestasi ekonomi Malaysia untuk suku kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Asas ekonomi negara dalam separuh kedua lalu keseluruhannya kekal kukuh dengan pertumbuhan 5.2 peratus dalam perbelanjaan domestik, kadar pengangguran rendah dan sektor perbankan mantap.Pelaburan langsung asing (FDI) bersih juga meningkat kepada RM6.2 bilion pada suku pertama daripada RM4 bilion suku sebelumnya, berikutan persekitaran pelaburan yang semakin meningkat.

Tambah beliau, pertumbuhan ekonomi negara dijangka bertambah baik pada separuh kedua berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang positif, disokong kegiatan ekonomi di kebanyakan negara sedang membangun serta pemulihan dalam rantaian bekalan global.

Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia dijangka mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus bagi seluruh tahun ini disokong asas kukuh ekonomi dan pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Pertumbuhan dalam separuh kedua ini akan terus dirangsang permintaan domestik dan perdagangan serantau yang kukuh serta eksport komoditi dan produk berasaskan sumber,” katanya.

Beliau menegaskan, dalam persekitaran semasa keutamaan Bank Negara adalah untuk menyokong pertumbuhan, pada masa sama membendung inflasi.

Inflasi negara berada pada kadar purata 3.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini, terutama disebabkan kenaikan harga makanan dengan kadar 3.4 peratus dicatatkan pada Julai adalah yang paling tinggi sejak Mac 2009.

Bank Negara mengunjurkan kadar inflasi bagi seluruh tahun ini berada pada kadar antara 2.5 hingga 3.5 peratus.

Sumber –Bank Negara Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...