Bursa Malaysia

top_rightads

Tuesday, March 20, 2012

Individu Atau Syarikat Yang Bantu Sekolah Dan Rumah Ibadat Bakal Dapat Potongan Cukai

28 Rabiulakhir 1433

KUALA LUMPUR, 20 Mac, 2012- Kerajaan bersetuju untuk memberikan potongan cukai kepada syarikat dan orang perseorangan yang memberikan sumbangan tunai kepada institusi pendidikan rendah dan menengah termasuk sekolah, yang tidak berorientasikan keuntungan serta tempat ibadat yang berdaftar.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata potongan cukai yang diberikan kepada individu adalah sebanyak 7.0 peratus, manakala bagi syarikat, potongan cukai yang akan diberi adalah sebanyak 10 peratus.

Bagi melaksanakan keputusan itu pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan 1967 sedang dilaksanakan, katanya.

"Sementara menunggu pindaan perundangan dikuatkuasakan, mereka yang ingin mendapatkan potongan cukai kini bolehlah mengemukakan permohonan terus kepada Kementerian Kewangan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Lim, pelaksanaan pemotongan cukai itu dijangka hanya dilakukan pada tahun depan.

Bagi melayakkan individu atau syarikat mendapatkan potongan cukai itu, katanya kesemua sumbangan hendaklah dalam bentuk tunai dan setiap permohonan mestilah disertakan dengan dokumen lengkap termasuk resit yang disahkan oleh sekolah atau rumah ibadat terbabit.

Potongan cukai bagi sumbangan tunai kepada sekolah dan tempat ibadat di bawah seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2012.

 Sumber- BERNAMA

Sunday, March 18, 2012

Isu Amah:Kerajaan Malaysia Digesa Tidak Meneruskan MOU Dengan Kerajaan Indonesia

26 Rabiulakhir 1433

Bayangkan jika RM 700 untuk setiap tugas amah dari Indonesia dikenakan sebulan untuk 1 jenis kerja sahaja. Jika anda mempunyai 4 tugas utama anda perlu menggaji empat orang amah.Maka dalam masa sebulan majikan perlu membayar kos sebanyak RM2,800.Yang musykilnya rata-rata pendapatan rakyat golongan pertengahan hanya berpendapatan RM 3000 hingga RM5,000. Isunya bolehkan ambil empat orang sedangkan peraturan Malaysia sekarang mensyaratkan pendapatan keluarga mestilah RM 10,000 (jika tak silap penulis). Selain daripada itu majikan terpaksa membayar agen sebanyak  RM 4,511 seorang dan jika anda memiliki 4 orang, anda perlu membayar RM 18,044. Itu belum mengambik kira kos-kos lain, seperti meminta dihantar bercuti ke rumah kawan-kawannya, makan, pertambahan bil air dan sebagainya.

Penulis membuat kesimpulan, pasukan perunding di kedua-dua belah negara telah membuat suatu keputusan yang tidak munasabah langsung dan menghabiskan masa dan wang rakyat. Setakat nak buat lawak, tak perlu ada pasukan perunding berkenaan. Kerajaan Malaysia boleh fikirkan untuk mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di bawah kementerian Keluarga dan Mayarakat di setiap kawasan di Malaysia dengan kerjasama pengelola pusat jagaan yangs sedia ada. Maka yang demikian , Malaysia boleh terus fokus untuk menjadikan Malaysia negara maju 2020 tanpa memikirkan lagi isu MOU ini. Oleh yang demikan,MOU ini tidak perlu diteruskan.

Wallahualam

@MyIktisad

Najib Musykil Peraturan Baru Pembantu Rumah Indonesia Berbeza Dengan Keputusan Dicapai

25 Rabiulakhir 1433

IPOH, 17 Mac, 2012- Datuk Seri Najib Tun Razak musykil dengan tindakan kerajaan Indonesia menetapkan peraturan baru penghantaran pembantu rumah yang antara lain memperuntukkan mereka hanya melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Perdana Menteri berkata peraturan baru yang diumumkan Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Dr Reyna Usman itu "ia tidak munasabah langsung".

"Kita harap pihak Indonesia akan kembali kepada semangat persefahaman yang telah dimeterai antara saya dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

"Semua syarat telah dibincangkan dan kedua-dua menteri berpuas hati dengan persefahaman yang telah dicapai dan tidak ada apa pun dibangkitkan pada waktu itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru empat tingkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa2, yang bernilai RM9 juta di sini Sabtu.

Najib berkata beliau hairan kenapa pada saat ini setelah perjanjian berkenaan ditandatangani, pelbagai perkara mengenai isu pembantu rumah Indonesia dibangkitkan.

Ditanya sama ada kerajaan akan mencari jalan menyelesaikan isu itu, beliau berkata: "Kami akan mencari jalan penyelesaian. Saya terkejut bahawa selepas pemimpin utama kedua-dua negara (Najib dan Susilo) bersetuju, perkara seperti ini timbul.

"Saya difahamkan bahawa itulah persefahamannya (yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia) dan ia akan dilaksanakan dengan lancar."

Pembekuan sementara pembantu rumah dari Indonesia itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai Najib dan Susilo pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Antara persetujuan yang dicapai, kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan. Selain itu pembantu rumah akan diberi satu hari cuti setiap minggu dan mereka dibenarkan memegang pasport sendiri.

Namun Dr Reyna pada Khamis lepas mengumumkan peraturan baru yang berbeza daripada perjanjian dipersetujui.

 Bernama- BERNAMA

Friday, March 16, 2012

Penyata Akaun Simpanan Bank Perlu Diberi Secara Percuma

23 Rabiulakhir 1433

PETALING JAYA, 15 Mac, 2012  Semua pemegang akaun simpanan berhak untuk mendapatkan penyata akaun simpanan bank pada setiap bulan secara percuma, kata Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk N Marimuthu.

Beliau berkata penyata akaun simpanan perlu diberikan kepada pemegang akaun secara percuma tanpa dikenakan sebarang caj disebabkan mereka telah membuka akaun simpanan dan melaburkan duit simpanan kepada pihak bank.

"Tidak wajar pihak bank mengenakan caj yang tidak relevan kepada pemegang akaun bagi mendapatkan penyata bulanan kerana ia penting untuk mereka mengetahui aliran keluar masuk wang di dalam akaun simpanan.

"Apa yang lebih mengejutkan adalah terdapat bank yang mengenakan caj RM2 hingga RM15 bagi setiap muka surat penyata bulanan sekiranya pemegang ingin mendapatkannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen "Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya" di sini hari ini.

Marimuthu berkata walupun penyata bulanan boleh dilihat oleh pemegang akaun secara online, beliau berpendapat sistem dokumentasi adalah lebih penting terutamanya melibatkan wang simpanan setiap pemegang.

Sumber- BERNAMA

Gaji Minimum Pembantu Rumah Indonesia RM 700 Untuk Hanya Satu Tugasan Khusus

23 Rabiulakhir 1433

Oleh Ahmad Fuad Yahya(Bernama)

JAKARTA, 15 Mac, 2012- Indonesia mula melatih pembantu rumah untuk dikirim ke Malaysia di mana mereka hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji minimum RM700.

Jika seorang pembantu rumah itu diambil untuk menjadi tukang masak, ia akan hanya menjalankan tugas memasak dan tugas-tugas berkaitan sebagai tukang masak dan tidak akan menjalankan tugas-tugas lain seperti mengasuh bayi dan sebagainya.

Inilah antara hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia di sini, Khamis.

Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Dr Reyna Usman berkata JTF hari ini mencapai kesepakatan terhadap empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.

Dengan kesepakatan ini, kata beliau 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih selama 200 jam atau 21 hari mulai hari ini dengan kemahiran khusus masing-masing.

Dalam erti kata lain, majikan yang memerlukan pembantu rumah Indonesia untuk menjalankan kesemua empat tugas itu, harus mengambil empat pembantu rumah yang khusus terlatih dalam kemahiran masing-masing.

Dr Reyna berkata kesepakatan dalam soal jawatan khusus itu diharap dapat mengelakkan masalah seperti yang telah berlaku di masa lalu.

Katanya pada masa ini 12 daripada 176 agensi pekerjaan Indonesia bersedia melatih pembantu rumah berkenaan manakala di Malaysia lima daripada 221 agensi pekerjaan pula bersedia untuk menguruskan penempatan mereka dengan majikan di Malaysia.

"Pada masa ini sebahagian besar daripada calon pembantu rumah berkenaan sedang dilatih di Surabaya, Jawa Timur dan di Bekasi, Jawa Barat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia di sini.

Beliau berkata selepas pengiriman kumpulan pertama 106 pembantu rumah itu, ribuan lagi dapat dikirim ke Malaysia, dengan anggaran antara 4,000 hingga 5,000 orang sebulan.

Setakat ini belum ada seorangpun pembantu rumah Indonesia dikirim secara rasmi ke Malaysia sejak Indonesia menarik balik moratorium pengiriman pembantu rumahnya ke Malaysia pada 1 Disember tahun lalu.

Pembekuan sementara itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Antara persetujuan yang dicapai, kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan.

Selain itu pembantu rumah akan diberi satu hari cuti setiap minggu dan mereka dibenarkan memegang pasport sendiri.

Sumber- BERNAMA

Sunday, March 11, 2012

Harga Minyak Punca Kenaikan Harga Barang Di Malaysia?

19 Rabiulakhir 1433

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini, seolah-olah kesan reaksi kenaikan harga barang tidak sehebat sekitar pada tahun 2008. Ketika sekitar tahun berkenaan, tak silap penulis kenaikan gaji kakitangan diikuti kenaikan harga minyak yang agak drastik disebabkan berlakunya kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Ini menyebabkan pelbagai peringkat perniagaan meningkatkan harga masing-masing bagi menampung kos operasi mereka dari peniaga kecil hinggalah ke peniaga yang besar. Ini menyebabkan rakyat mengeluh dan melepaskan kemaran mereka di peti undi sehiggakan menyebabkan parti memerintah kehilangan kerusi di parlimen agak ketara serta kehilangan beberapa negeri.

Namun begitu, situasi dilihat agak berbeza sekarang. Kerajaan masih mengekalkan harga minyak, cuma hanya memperkenalkan dua jenis harga minyak iaitu mengikut standart 95 dan 97 dan pengguna mempunyai pilihan masing-masing mengikut selera dan kemampuan. Disamping itu situasi semasa harga minyak di pasaran dunia tidak kurang hebatnya disebabkan krisis politik di timur tengah.Apakah situasi dan fakta ini telah membuktikan bahawa harga minyak mempunyai pengaruh yang besar ke atas emosi rakyat? Jika ini benar , maka para pembuat dasar perlulah lebih peka dalam bab harga minyak pada masa yang akan datang.

Wallahualam

@MyIktisad

Wednesday, March 7, 2012

Gaji Minimum Tidak Bermakna Jika Kenaikan Harga Hartanah Tidak Dibendung

15 Rabiulakhir 1433

Pengenalan gaji minimum dilihat tidak akan bermakna untuk meningkatkan pendapatan rakyat sedangkan spekulasi harga hartanah tidak dapat dibendung. Kenaikan harga hartanah yang agak tidak munasabah ketika ini menyebabkan kuasa beli rakyat terhakis dalam jangkamasa yang panjang sedangkan pemaju yang rakus terus mengaut keuntungan yang berlipat ganda.Ini bakal mengancam prospek pertumbuhan ekonomi negara di mana kerajaan perlu secara berterusan menyuntik dana ke dalam pasaran untuk merancakkan ekonomi.

Selain daripada itu masalah kenaikan harga barang yang lain dan kos sara hidup yang semakin meningkat perlu dibendung dengan kaedah campur tangan kerajaan di dalam beberapa bidang ekonomi dan mengelakkan kuasa penawaran ditentukan oleh pasaran atau"market forces"yang dilihat bersifat kapitalis. Jika isu  ini tidak dapat diuruskan dengan baik, maka tidak ada maknanya mempunyai rakyat berpendapatan tinggi sedangkan pada masa yang sama kos sara hidup rakyat naik lebih tinggi daripada pendapatan yang mereka perolehi.

Wallahualam

@MyIktisad

Monday, March 5, 2012

Harga Minyak Mentah Dalam Aliran Meningkat ?

13 Rabiulakhir 1433

Ketika artikel ini ditulis, harga minyak mentah berada pada US 107.01 setong iaitu berada dalam aliran meningkat berikutan krisis ketidaktentuan politik di negara-negara teluk. Oleh yang demikian, kerajaan digesa merangka pelan luar jangka bagi meminimakan kesan kenaikan bahan bakar berkenaan ke atas ekonomi negara.

Pemerkasaan produk biodisel dan tenaga solar dilihat dapat memberikan alternatif  kepada penggunaan bahan bakar berkenaan. Langkah awal perlu dirangka bagi memastikan kenaikan harga minyak berkenaan tidak memberikan kesan negatif terhadap ekonomi negara sebaliknya negara perlu memanfaatkan kenaikan harga berkenaan untuk meningkatkan pendapatan negara dari hasil petroleum.

@MyIktisad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...